Saturday, August 29, 2015

5 Perkara Yang Anda Perlu Amalkan Setiap Hari Untuk Menjadi Muslim Produktif

Macam biasa,aku suka blog walk dan aku akan sangat2 tertarik dengan reading yang boleh menjadi kotivasi diri.. Oleh sebab takut hilang tak.jumpa da lagi lepas ni,aku terus share kat sini. Sambil2 tu boleh share ilmu yang aku dapat tu dengan orang lain kn.

***
5 Perkara Yang Anda Perlu Amalkan Setiap Hari Untuk Menjadi Muslim Produktif

Sebagai seorang muslim dan usahawan, saya perlu kekal produktif agar saya dapat menyelesaikan pelbagai perkara berkaitan kehidupan dan perniagaan setiap hari. Jadi bagaimanakah agaknya...

Sebagai seorang muslim kita perlu berusaha agar hari kita sentiasa produktif.

Sebagai seorang muslim dan usahawan, saya perlu kekal produktif agar saya dapat menyelesaikan pelbagai perkara berkaitan kehidupan dan perniagaan setiap hari.

Jadi bagaimanakah agaknya untuk menjadikan hidup lebih produktif? Beberapa bulan lepas, saya mula melakukan sedikit kajian dan pembacaan mengenai gaya hidup yang sihat dan seimbang.

Productivity is being able to do things that you were never able to do before.
-Franz Kafka, Germany Novelist-

Alhamdulillah, melalui beberapa siri pembacaan dan penelitian saya jumpa beberapa perkara penting yang kita perlu praktikkan untuk mendapatkan gaya hidup yang seimbang.

Dari gaya hidup yang sihat dan seimbanglah akan hadirnya produktiviti kerja seharian kita yang memberangsangkan. Tanpa berlengah lagi, saya cuba mempraktikkan beberapa perkara yang telah saya temui dari pembacaan ringkas tersebut. Alhamdulillah, secara perlahan-lahan saya telah merasai sendiri perubahan yang agak ketara terhadap produktiviti kerja saya.

Oleh itu, saya ingin berkongsi dengan anda semua 5 perkara berkaitan gaya hidup yang telah saya praktik agar anda semua juga turut mendapat sedikit sebanyak manafaat untuk mengubah gaya hidup 2014 ini untuk menjadi seorang muslim yang lebih produktif. Insyallah.

#1 – Apakah Yang Hendak Dilakukan Hari Ini?

Perkara pertama yang perlu anda lakukan ialah dengan mewujudkan senarai apa yang anda perlu lakukan (to-do-list) pada setiap hari. Ini akan menjadikan satu indikator penting sama ada hari yang kita lalui adalah produktif atau tidak.

Luangkan 10-15 minit sebelum tidur untuk menyenaraikan perkara yang anda perlu lakukan pada hari esok.

Contoh senarai to-do-list yang kita senaraikan dengan lengkap. [Orcmid]

A to do list is an orderly way to organize how to do the things you want to do. Projects and plans get broken down into bite size chunks that are doable. A to do list not only creates order but also gives you a strategy for getting things done.

Robin Skey, Fitness Guru

Terdapat pelbagai cara dan teknik untuk kita menghasilkan to-do-list yang berkesan. Saya pula lebih suka senaraikan to-do-list yang lebih terperinci dan spesifik yang saya perlu lakukan setiap hari. Pertamanya, saya bahagikan to-do-list ini kepada beberapa bahagian antaranya ialah peribadi dan perniagaan 1, perniagaan 2. 

Sebagai contoh bagi to-do-list peribadi, saya akan senaraikan secara spesifik apa yang perlu saya lakukan hari ini seperti baca buku Delievering Happiness minima 1 bab, mendengar ceramah online 15-30 minit, mengaji al-Quran 1-2 halaman dan sebagainya.

Apabila saya senaraikan dengan jelas apa yang saya perlu lakukan maka saya tahu limitasi masa yang saya ada untuk sesuatu perkara dan secara tidak langsung memudahkan saya untuk merancang aktiviti harian yang lain.

Saya tertarik dengan to-do-list seorang usahawan wanita yang saya kenali. To-do-list beliau sangat terperinci dan praktikal sehinggakan apakah menu masakkan bagi makan tengah hari, makan malam dan sebagainya telah ditentukan! Oleh itu, beliau tidak perlu bazirkan masa lagi apa yang hendak di masa pada waktu tersebut.

Apps Evernote sangat membantu kita untuk merancang kehidupan seharian kita. [Evernote]

Oh ya, saya biasanya gunakan Apps EverNote untuk merancang to-do-list harian saya kerana ia lebih mudah untuk diuruskan kerana apps ini dapat dintegarasi dengan telefon pintar, laptop, laman web dan sebagainya. Walau dimana kita berada, kita boleh tick dan untick to-do-list harian yang telah kita rancang. Anda juga patut mencubaApps EverNote ini!

#2 – Bagaimanakah Tidur Anda Hari Ini?

Menentukan waktu tidur adalah sesuatu yang sangat penting dalam menentukan produktiviti harian kita. Tidur yang cukup dan berkualiti akan membuatkan kita lebih bertenaga dan bermotivasi untuk menyelesaikan segala aktivti harian yang telah dirancang.

Tahukah anda bahawa kebanyakkan orang hebat di dalam dunia ini memulakan aktiviti harian mereka pada awal pagi? Kebanyakkan mereka akan mulakan aktiviti harian mereka seawal jam 4-5 pagi setiap hari.

Kebanyakkan orang hebat memulakan aktiviti harian mereka pada awal pagi? [Eric]

Sebelum ini waktu tidur saya pula adalah tidak menentu dan kebanyakkan masa saya dihabiskan pada waktu malam kerana saya merasakan kononnya lebih produktif untuk bekerja pada sebelah malam berbanding siang hari.

Oleh itu, saya telah mengambil keputusan drastik untuk menamatkan segala aktiviti harian saya setiap hari selewatnya jam 11.30 malam dan kadang-kadang saya akan tidur seawal 10 malam. Kalau nak di ikutkan kerja yang ada, tidak tidur 3 hari 3 malam pun masih belum dapat menyelesaikan semuanya.

The quality of your sleep directly affects the quality of your waking life, including your mental sharpness, productivity, emotional balance, creativity, physical vitality, and even your weight.

via HelpGuide.org

Oleh itu, kita perlu tetapkan limitasi waktu bekerja kita dan apabila tiba waktu tidur, tinggalkan segala kerja yang ada dan fokus untuk tidur agar dapat menyambung kembali esok dengan lebih bertenaga. Kemudian saya akan cuba untuk bangun sekitar 5 pagi untuk meneruskan aktiviti harian.

Dengan mengikuti sunnatullah waktu malam untuk tidur, kita dapat melakukan ibadah dengan lebih terancang dan teratur. Kita boleh mulakan hari kita di pagi hari dengan pelbagai ibadah sunat yang sangat dituntut oleh agama dan lebih mudah untuk kita menunaikan solat 5 waktu di masjid.

Saya juga mengamalkan tidur sekejap pada tengah hari sekitar 20-40 minit (kadang-kadang akan tersasar sehingga 1 jam. Oh!). Alhamdulillah, apabila mengamalkan waktu tidur sebegini saya rasa mempunyai lebih banyak tenaga untuk menyelesaikan segala aktiviti harian yang telah disenaraikan.

#3 – Sudahkah Anda Bersenam Hari Ini?

“Untuk sihat awak perlu bersenam!” kata seorang sahabat kepada saya. Itu adalah nasihat yang klise, semua orang tahu bahawa bersenam sangat penting untuk tubuh badan kerana otak yang cergas dari badan yang sihat. Tetapi ramai hanya sekadar tahu dan sekadar melafaznya di bibir sahaja. Nak praktikannya susah sekali! (Termasuklah diri saya.. Oh!)

Cuba cari masa terluang untuk mengeluarkan peluh agar kita lebih cergas. [Gato]

Exercising causes the body to produce endorphins, chemicals that can help a person to feel more peaceful and happy. Exercise can help some people sleep better. It can also help some people who have mild depression and low self-esteem.

via KidsHealth.org

Melakukan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh bukan sekadar dapat menjamin tubuh badan yang sihat tetapi dalam membuatkan pemikiran kita lebih kritis dan kreatif.

Dulu saya terlalu sibuk dengan kerja sehingga tidak mampu untuk meluangkan masa bagi melakukan aktiviti yang boleh mengeluarkan peluh. Malah tubuh badan juga terasa cepat letih dan tidak bermaya untuk menyelesaikan tugasan kerja yang banyak.

Sekarang, saya disiplinkan diri untuk bersenam atau melakukan aktiviti lain yang dapat mengeluarkan peluh. Aktiviti rutin harian saya adalah jogging sekitar 1-2 km setiap pagi sebelum masuk ke pejabat. Paling kurang saya akan cuba luangkan masa untuk jogging 3 kali seminggu.

Nike Running Apps memaparkan masa, jarak & kelajuan larian kita.

Jogging adalah aktiviti yang agak membosankan tetapi saya bersyukur kerana Nike telah wujudkan satu apps yang membuatkan aktiviti jogging lebih menyeronokkan. Apps tersebut ialah Nike Running, kita boleh gunakan apps ini untuk merekodkan jarak, masa dan kelajuan larian kita. Malah kita juga boleh melihat larian rakan-rakan kita yang lain jika mereka menggunakan apps ini. Secara tidak langsung, ia akan membuatkan kita cuba berusaha untuk melakukan larian yang lebih baik setiap hari.

Ternyata apabila kita melakukan aktiviti yang mengeluarkan peluh secara konsisten, kita lebih seronok untuk bekerja, lebih mudah untuk fokus dan fikiran terasa sangat segar untuk menyelesaikan pelbagai masalah perniagaan yang dihadapi. Saya tidak lagi berasa lemau atau tidak bermaya.

#4 – Apakah Yang Anda Makan Hari Ini?

Saya terkejut apabila membaca artikel berkenaan bagaimana makanan yang kita ambil setiap hari boleh mempengaruhi produktiviti harian kita. Apabila kita banyak mengambil makanan yang berminyak, berlemak, terlalu manis dan sebagainya akan menyebabkan badan kita akan menjadi lemah.

it’s about feeling great, having more energy, stabilizing your mood, and keeping yourself as healthy as possible—all of which can be achieved by learning some nutrition basics and using them in a way that works for you.

via HealthyGuide.org

Mengikut kajian, makanan di Malaysia merupakan di antara makanan paling tidak sihat di dunia dengan kandungan minyak yang berlebihan. Malah majoriti rakyat Malaysia juga ‘overdose‘ dengan gula tanpa sedar. Di dalam sesetengah makanan harian kita sudah mengandungi gula secukupnya, di tambah pula kita minum air yang bergula maka sebab itulah terjadinya lebihan gula tanpa sedar.

Saya cuba mengurangkan air yang manis atau bergula. Bila di pejabat saya hanya akan mengenakan teh hijau ataupun air kosong sahaja. Apabila pergi ke kedai makan, saya akan tempah minuman buah tanpa gula ataupun air suam sahaja.

Saya juga mengurangkan makanan yang berlemak atau bergula. Setelah beberapa hari sahaja mempraktikkan perkara tersebut, saya sudah dapat rasakan badan saya lebih ringan untuk melakukan aktiviti harian.

Di dalam makanan seharian kita banyak mengandungi gula, jadi kurangkan gula!

Di antara petua lain yang boleh diamalkan apabila makan ialah berhenti sebelum kenyang kerana berdasarkan kajian otak mengambil masa beberapa minit sebelum kita sedar bahawa kita telah kenyang. Oleh itu, jika kita makan sehingga kenyang ia akan membuatkan kita lebih kenyang selepas beberapa ketika. Apabila perut terlalu kenyang, kita akan mula perlahan dan mengantuk. Itu sangat menggangu produktiviti!

Selain itu, cuba ambil makan malam anda sebelum waktu maghrib. Ia bukan sahaja dapat mengelakkan naik berat badan tetapi dapat membuatkan kita lebih mudah untuk tidur kerana makanan telah hadam awal. Secara tidak langsung, kita dapat bersenam pada keesokkannya dengan lebih baik kerana makanan berat mengambil masa 5-6 jam untuk hadam sepenuhnya.

#5 – Apakah Yang Anda Pelajari Hari Ini?

Sebagai seorang muslim kita disarankan untuk berusaha agar hari ini lebih baik dari semalam. Salah satu cara untuk menjadikan hari esok lebih baik dari hari ini adalah dengan bekalan ilmu. Jadi saya wajar untuk kita disiplinkan diri sendiri untuk belajar perkara baru setiap hari dengan lebih spesifik.

Sesungguhnya orang yang paling berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam dan orang yang gagal adalah orang yang hari ini lebih teruk daripada semalam, manakala orang yang terpedaya adalah orang yang hari ini sama dengan hari semalam.

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim

Sebelum ini saya tidak konsisten belajar perkara baru kerana semuanya bergantung terhadap masa lapang yang kita ada. Belajar perkara baru seringkali diletakkan di dalam masa lapang yang kita ada sahaja. Saya rasa ini tidak betul kerana sebagai seorang muslim kita sentiasa perlu belajar perkara baru untuk memperbaiki diri kita.

Setiap hari kita perlu belajar perkara baru walaupun sedikit.

Oleh itu, saya memang tetapkan setiap hari secara rutin saya perlu luangkan masa untuk mendegar kuliah agama, membaca buku berkaitan bisnes dan apa sahaja aktiviti yang memberi nilai tambah ilmu terhadap diri saya.

Untuk tahun 2014 ini saya berazam untuk mempelajari tafsir paling kurang satu ayat al-Quran setiap hari. Alhamdulillah, dengan teknologi internet sekarang saya telah dipertemukan dengan Bayyinah TV oleh Nouman Ali Khan unutk belajar tafsir secara online. Saya terus melanggan agar dapat menjayakan aktiviti harian tersebut.

Pun begitu, jangan hanya hadkan pembelajaran terhadap ilmu berkaitan kerja dan agama sahaja. Saya percaya hidup yang produktif adalah hidup yang seimbang dari semua aspek agar kita tidak mudah bosan dengan sesuatu perkara. Anda juga patut cuba untuk belajar perkara baru yang tidak ada kaitan dengan kerja ataupun hidup anda!

Sebagai contoh, anda tetapkan setiap hari untuk belajar bahasa Perancis walaupun anda tidak tahu bilakah hendak menggunakan bahasa tersebut. Tetapi itu akan membuatkan kita lebih terhibur dan secara tidak sedar menghilangkan tekanan kerja kita. Saya telah tetapkan beberapa perkara diluar skop kerja yang saya ingin pelajari sepanjang tahun 2014 ini.

Maka saya mulakan dengan belajar bermain gitar di masa terluang dan ternyata ia sangat menghiburkan dan dapat melegakan tekanan kerja seharian!

Konsisten Adalah Kunci Kejayaan (Istiqamah)

Sebagai rumusan apa yang saya kongsikan di atas mungkin tidak praktikal dalam banyak kehidupan orang lain kerana kita semua berbeza dari segi latar belakang kerja, budaya dan kehidupan. Tetapi tujuan saya menghasilkan entri ini agar anda semua dapat mengambil mana-mana perkara baik yang anda mampu praktikkan di dalam kehidupan seharian untuk menjadi lebih produktif.

For changes to be of any true value, they’ve got to be lasting and consistent.

Tony Robbins, Motivational Speaker

Sepanjang saya menjalankan perniagaan selama 7-8 tahun ini, saya dapat menjelaskan bahawa salah satu cara untuk berjaya ialah kita dapat melakukan sesuatu perkara itu secara konsisten (istiqamah). Ini kerana apabila kita mula mencuba sesuatu yang baru, maka kita melakukannya dalam fasa keterujaan diri yang sangat tinggi dan kita cenderung untuk melakukannya secara berlebih-lebihan.

Sebagai contoh apabila kita mula biasakan diri dengan jogging, kita cenderung mentapkan untuk lari 5 km setiap pagi! Apabila membaca al-Quran kita cenderung menetapkan untuk membaca 1 juzuk setiap hari! Dan banyak lagi yang anda boleh senaraikan berdasarkan pengalaman peribadi.

Kita mengharapkan agar terus konsisten dalam melakukan perubahan. [Habibi]

Kemudian angka-angka tersebut akan mula menurun berkadar terus dengan turunnya kadar keterujaan kita terhadap sesuatu perkara. Sampai satu tahap kita tidak ada motivasi lagi untuk melakukan perkara-perkara tersebut lagi. Segala aktiviti yang pada mulanya kita teruja akan lenyap.

Oleh itu, kita semua perlu belajar untuk mengawal tahap keterujaan yang kita ada agar kekal sederhana. Supaya kelak apabila kita tidak lagi memiliki keterujaan seperti sebelumnya, kita masih mampu untuk melakukan sesuatu perkara.

Sebagai contoh,  walaupun saya mampu untuk jogging 5 km setiap hari tetapi saya ‘neutralkan’ kehendak anda kepada 1.5 km sahaja setiap hari agar di hari saya tidak teruja lagi untuk jogging, saya masih mampu untuk berlari 1.5km, satu angka yang tidak terlalu membebankan.

Apabila kita mengaji al-Quran walaupun kita mampu untuk membaca 1 juzuk sehari, kurangkan keterujaan kita dengan membaca 1 halaman setiap hari agar apabila keterujaan tersebut hilang kita masih mampu untuk membaca 1 halaman al-Quran.

Apabila rasa selesa dengan tahap sederhana yang telah kita tetapkan, maka dari situ kita boleh tingkatkan angka tersebut dari semasa ke semasa.

Apa yang penting bukan seberapa banyak kuantiti sesuatu perkara yang kita lakukan tetapi sejauh mana kita konsisten di dalam melakukan perkara tersebut. Oleh itu, kita sentiasa panjatkan doa kepada Tuhan agar kita diberikan kekuatan untuk terus konsisten dalam perjuangan ini.

Akhir kata, saya doakan agar anda semua konsisten dalam mengubah gaya hidup yang lebih produktif. Jangan lupa doakan saya juga ya!

by Adly Bin Mukhtar

Seorang yang minimalis, berani mengambil risiko, suka membaca dan berstatus 56.4% single. Oh! Kini merupakan CEO Yosh.my iaitu sebuah syarikat yang membangunkan platform perniagaan berasaskan dropship diantara yang terawal di Malaysia.

:: http://tazkirah.net/5-perkara-yang-anda-perlu-amalkan-setiap-hari-untuk-menjadi-muslim-produktif/

  

No comments:

Post a Comment