Tuesday, August 25, 2015

4 Cara-Cara Belajar Paling Efektif Untuk Diamalkan Dalam Masa 24 Jam


Search pasal artikel lain,tapi terjumpa atikel yang best ni pula, " "4 Cara-Cara Belajar Paling Efektif Untuk Diamalkan Dalam Masa 24 Jam .. sebelum aku tak jumpa da lagi artikel ni,baik aku terus simpan dalam diari online aku ni,apa susah, copy & paste je..haha..
Sebelum tu,meh aku ringkaskan apa isi penting dalam benda alah ni:

Dalam ni ada 4 bahagian utama

(1)PERSEDIAAN UNTUK BELAJAR
1.mengatur masa
2.sesuaikan dengan kemampuqn diri
3.dapatkan tidur yang mencukupi
4.kosongkan fikiran daripada perkara yang tidak berkaitan
5.elakkan gangguan teknologi

(2)PERSEDIAAN TEMPAT BELAJAR
1.dapatkan tempat yang sesuai untuk belajar
2.pilih muzik yang sesuai
3.dengar lagu latar
4.tutup televisyen (tv)
5.makan dengan hemah

(3)PENGGUNAAN TEKNIK BELAJAR YANG BETUL
1.guna SQ3R
2.highlight isi penting
3.buat ringkasan
4.buat flashcard
5.kaedah perkaitan
      i.kaitkan dengan kegemaran
      ii.gunakan singkatan perkataan (akronim)
      iii.peta minda
6.pecahkan kepada bahagian yang lebih kecil

(4)BELAJAR DENGAN LEBIH EFEKTIF
1.berikan badan rehat
2.ambil nota dalam kelas
3.cantikkan nota di rumah
4.jadikan belajar lebih menarik
5.ulangkaji subjek yang sukar terlebih dahulu
6.fahami definisi dan maksud
7.buat kumpulan belajar (study group)

Then dalam ni ada tips tambahan,korg baca la kat bawah ni,kalau aku nak ringkaskan pun lebih kurang je nanti. Moga berguna untuk kekite yang masih tercari-cari cara belajar yang sesuai dengan diri masing-masing.

*******

Ketika anda sedang mengulang kaji pelajaran, agak-agaknya berapa yang anda dapat sepanjang anda berada di meja tersebut? Adakah pelajaran itu masuk ke dalam otak anda dengan baik? Ataupun sekadar masuk telinga kanan keluar telinga kiri?
Sekiranya anda mengalami masalah untuk mengulangkaji pelajaran ataupun menghafal fakta-fakta, ia mungkin berpunca daripada pengamalan kaedah belajar yang salah. Dalam artikel ini, anda akan didedahkan kepada cara-cara belajar yang efektif, berkesan dan beberapa tips yang boleh membantu.

Artikel ini mengandungi beberapa segmen seperti berikut:

Bahagian 1: Persediaan Untuk Belajar
Bahagian 2: Persediaan Tempat Belajar
Bahagian 3: Penggunaan Teknik Belajar Yang Betul
Bahagian 4: Belajar dengan Lebih Efektif
Tips Tambahan

Sekiranya anda sudah tidak sabar untuk mengetahui kaedah-kaedah dan teknik-teknik tersebut, silakan membaca di bawah.
Artikel ini agak panjang, jadi anda digalakkan untukbookmark laman ini untuk tujuan rujukan kemudian. – Teruskan membaca.
Bahagian 1: Persediaan Untuk Belajar
Sebelum anda belajar ataupun mengulangkaji, andalah terbaik anda mengetahui bagaimana untuk “bersedia untuk belajar“. Berikut adalah cara-caranya.

1. Mengatur Masa

Masa amat kritikal dalam pembelajaran berkesan, oleh itu anda perlu mengaturnya dengan baik. Anda perlumembuat jadual waktu harian dan membekalkan beberapa jam mengikut kemampuan anda untuk belajar dan mentelaah pelajaran. Dengan berbuat demikian, ia boleh memberikan anda keputusan yang lebih dalam peperiksaan.

Jumlah jam yang diaturkan boleh jadi berbeza mengikut tahap pembelajaran yang anda sedang ikuti (sekolah ataupun kolej universiti) dan bidang pembelajaran (sains ataupun sastera). Pastikan anda mengatur masa itu dengan sekadarnya dan ianya munasabah, agar anda boleh ikut perancangan anda dengan baik.
Anda perlu imbangkan sekolah, kelas, latihan dan aktiviti-aktiviti kokurikulum. Sekiranya anda sedang mengalami masalah dalam kelas, anda perlu pertimbangkan kerja sambilan ataupun aktiviti kokurikulum. Dalam keadaan ini, anda perlu utamakan gred pembelajaran terlebih dahulu dan berhentikan untuk sementara komitmen yang lain, sehinggalah keputusan anda meningkat.
Untuk pelajar kolej mahupun universiti, anda perlu memperuntukkan masa mengulangkaji pelajaran bergantung kepada tahap kesukaran dan kadar jam kredit sesuatu subjek tersebut. Sebagai contoh, anda mempunyai subjek fizik sebanyak 3 jam kredit, anda perlu belajar 9 jam seminggu (3 jam x 3 tahap sangat sukar).
Ataupun contoh yang lain: subjek sastera yang agak sukar, anda boleh memperuntukkan 6 jam seminggu untuk subjek tersebut (3 jam x 2 tahap agak sukar).
Walaubagaimanapun, di atas adalah sekadar cadangan sahaja, anda boleh mengubah cadangan di atas mengikut keperluan dan kemampuan anda. Apa yang pasti, anda perlu menguasai subjek tersebut, dan faham apa yang penting untuk kehidupan anda.

2. Sesuaikan Dengan Kemampuan Diri

Dapatkan rentak pembelajaran yang sesuai dengan anda dan suaikan dengan jadual waktu anda. Sesetengah kelas ataupun subjek anda boleh menangkap dengan baik, dan ada sesetengah tidak. Oleh itu, cuba sesuaikan diri dan berikan penekanan pada bahagian yang anda kurang.
Dan sekiranya anda seorang yang agak lambat untuk memahami sesuatu, anda perlu peruntukkan masa yang lebih banyak untuk belajar.

3. Dapatkan Tidur Yang Mencukupi

Pastikan dalam jadual anda itu mempunyai masa untuk tidur dan rehat. Tidur yang mencukupi (6-7 jam semalaman) setiap malam boleh memberikan kesan yang sangat besar kepada prestasi pembelajaran anda.
Hal ini sangat penting sekiranya anda perlu mengambil ujian pada keesokan harinya. Pastikan anda tidur pada malam sehari sebelum ujian itu, elakkan daripada mengamalkan amalan tidak tidur sebelum ujian. Dan jangan belajar last minute!

Satu kajian telah membuktikan bahawa orang yang mendapat tidur yang mencukupi mempunyai prestasi yang jauh lebih baik daripada orang yang tidak/kurang tidur dari segi ingatakan dan daya pemikiran.
Namun, jika anda memang tidak sempat untuk belajar atas sebab-sebab yang lain, anda boleh mengambil tidur sekejap pada malam harinya untuk beberapa minit (15-30 minit) sebelum mulakan ulangkaji. Kunci jam terlebih dahulu sebelum tidur untuk mengelakkan daripada tidak jaga, ataupun minta rakan kejutkan anda.

Setelah bagun, lakukan pergerakan fizikal sebelum mula mentelaah pelajaran. Pengambilan kopi juga boleh membantu bagi kebanyakan orang.

4. Kosongkan Fikiran Daripada Perkara Yang Tidak Berkaitan

Jika anda mempunyai banyak komitmen semasa anda menjadi pelajar ataupun mahasiswa, anda kemungkinan mempunyai banyak benda untuk fikirkan. Ini boleh mengganggu tumpuan anda semasa belajar.

Oleh itu, anda sebaiknya menghilangkan gangguan tersebut sebelum memulakan ulangkaji. Cuba selesaikan kerja ataupun apa-apa komitmen yang boleh mengganggu anda itu terlebih dahulu sebelum anda mengulang kaji.

Tidak pun, anda boleh melakukan sesuatu yang boleh mengalihkan perhatian anda daripada komitmen yang lain. Antaranya anda bersenam ataupun bersukan pada sebelah petang dan kemudian belajar pada sebelah malam.

5. Elakkan Gangguan Teknologi

Alatan elektronik seperti telefon pintar dan laptop serta talian internet merupakan satu gangguan utama kepada para pelajar. Kenapa tidaknya, kerana semuanya memberikan anda kebebasan untuk berhubung dengan rakan-rakan dan menonton video-video kucing yang lucu tanpa henti.
Jujurlah, kebanyakan kita sangat mudah diganggu oleh media sosial seperti Facebook, Twitter, Whatsapp, Youtube ataupun mana-mana media yang lain. Anda boleh block ataupun menghalang komputer anda daripada mengakses laman-laman sesawang tersebut untuk seketika.
Gunakan masa tersebut untuk belajar dengan sepenuh hati, dan setelah selesai, anda boleh menyambung bersosial – tiada masalah.
Jika tidak berhasil, anda boleh mendapatkan bantuan daripada ahli keluarga ataupun rakan untuk memegang alat elektronik anda (komputer, telefon bimbit) seketika anda mentelaah pelajaran.

Bahagian 2: Persediaan Tempat Belajar

Menyediakan tempat yang sesuai dan kondusif untuk pembelajaran amatlah penting kerana ia boleh meningkatkan daya tumpuan pelajar. Berikut adalah beberapa cadangan:

1. Dapatkan Tempat Yang Sesuai Untuk Belajar

Anda yang ingin belajar, oleh itu anda perlu pandai memilih tempat belajar yang sesuai dengan kehendak anda. Anda seharusnya selesa semasa belajar, itu sangat penting untuk mengelakkan anda daripada merasakan belajar itu membebankan.
Jika kerusi di perpustakaan tidak memberikan keselesaan, anda perlu berubah kepada tempat yang lebih selesa. Selain tempat pembelajaran, pakaian anda juga memainkan peranan. Cuba pakai pakaian yang anda rasa boleh memberikan keselesaan kepada anda. Pakaian tersebut mungkin boleh jadi yang tidak terlalu panas, tidak terlalu ketat dan tidak terlalu menonjol (untuk mengelak daripada mendapat perhatian orang awam).

Pada masa yang sama, elakkan belajar di tempat yang terlalu bising ataupun boleh mengganggu perhatian anda. Namun, jangan terlalu sunyi ataupun selesa sehingga anda boleh tertidur. Contohnya belajar di atas katil – saya tahu, para pembaca pernah belajar di atas katil kemudian tertidur, dan menyesal pada keesokan harinya 
Belajar di meja adalah tempat yang paling sesuai dengan postur tempat duduk yang optimum. Tidak terlalu rendah mahupun terlalu tinggi. Pastikan meja/tempat duduk anda itu anda gunakan semata-mata untuk belajar, bukannya untuk melayan filem di komputer.
Jika itu kesnya, ia boleh mengingatkan anda akan ‘rasa’ untuk menonton filem semasa anda berada di meja tersebut – kerana anda sudah terbiasa dengan keadaan tersebut.

2. Pilih Muzik Yang Sesuai

Sesetengah pelajar lebih menyukai keadaan yang sunyi untuk belajar, dan sesetengah lain pula lebih menyukai melayan lagu semasa belajar. Mana-mana pun tidak mengapa, asalkan ia memberikan kesan yang positif kepada prestasi anda dalam pembelajaran.
Mendengar lagu ataupun musik boleh membantu anda untuk tenang, melegakan emosi dan memberikan anda motivasi kepada anda. Jika anda selesa dengan musik, anda digalakkan untuk mendengar lagu instrumental. Jika tidak berminat, anda boleh juga mendengar mana-mana lagu dari artis kegemaran anda, asalkan ia tidak memberi
gangguan kepada anda.
Elakkan daripada mendengar radio kerana perbualan DJ boleh memberikan gangguan kepada anda. Tidak percaya cubalah!
Anda boleh membuat playlist lagu-lagu yang anda gemari di dalam mp3 player ataupun dalam telefon pintar anda. Kemudian shuffle sepanjang anda belajar.

3. Dengar Lagu Latar

Lagu latar ataupun senang dikenali sebagai background music juga boleh membantu anda dalam pembelajaran. Ini merujuk kepda bunyi-bunyi alam semula jadi seperti bunyi air terjun, hujan ataupun hutan boleh membuatkan anda lebih fokus, pada masa yang sama tidak terlalu bising sehingga mengganggu.

4. Tutup Televisyen (TV)

Belajar sambil menonton TV = 0% Belajar 100% Menonton TV
Ramai pelajar yang suka mengamalkan belajar sambil menonton TV, tapi percayalah ia merupakan satu idea yang tidak tepat, walaupun ramai yang menyatakan mereka boleh fokus lebih.
Faktor visual oleh TV secara tidak langsung boleh mengalihkan perhatian anda dari buku ke kaca TV. Pada masa yang sama, percakapan/perbualan drama dalam TV boleh meransang otak anda.

5. Makan Dengan Hemah

Makan makanan yang sihat dan berkhasiat semasa anda sedang belajar. Elakkan makanan seperti jajan dan gula-gula yang mengandungi banyak gula dan lemak.
Pilihlah makanan yang boleh membekalkan tenaga seperti buah-buahan ataupun kacang. Jika anda inginkan manisan, makanlah coklat hitam (dark chocolate). Minum air masak yang mencukupi, dan teh jika anda mahukan kafein.
Anda digalakkan untuk mengambil makanan sebelum belajar, untuk membekalkan badan anda dengan nutrisi yang cukup dan untuk elakkan badan daripada lapar semasa belajar di dalam kelas.

Bahagian 3: Penggunaan Teknik Belajar Yang Betul

Apa gunanya anda belajar, tetapi menggunakan teknik yang tidak tepat dan tidak boleh memberikan kesan yang positif kepada pencapaian akademik anda? Ini boleh membantu:

1. Guna SQ3R

SQ3R Merupakan satu kaedah pembelajaran yang melibatkan pembacaan aktif untuk membantu anda memahami dan menguasai sesuatu bahan tersebut. Kaedah ini melatih anda untuk previu sesuatu bahan agar lebih bersedia.
SQ3R merupakan singkatan kepada:
Survey/Skim – anda melakukan imbasan yang singkat ke atas semua carta, gambar, kata-kata kunci dan bahagian-bahagian yang terdapat di dalam sesuatu topik subjek yang berkenaan. Berikan perhatian kepada learning outcome yang sering dinyatakan dalam setiap topik/subjek pembelajaran, kerana itulah yang anda perlu tahu dan kuasai.
Question – jadikan semua benda yang anda dapat dari Survey itu sebgai soalan, seperti kenapa ini, kenapa itu, bagaimana, kenapa dan sebagainya.
Read – baca topik tersebut dengan perasaan untuk mencuba menjawab soalan yang anda adakan sebelum ini. Pastikan anda mendapat jawapan kepada soalan-soaln itu tadi dalam langkah ini.
Recite – ulangi jawapan-jawapan yang anda dapat secara lisan dan mana-mana maklumat penting yang anda dapat dalam topik berkenaan.
Review – pastikan anda melakukan reviu kepada pembelajaran anda dan ulanginya untuk subjek-subjek yang lain.

2. Highlight Isi-Isi Penting

Gunakan highlighter ataupun kaedah menggaris isi-isi penting dalam teks bacaan, agar anda lebih mudah untuk mengesannya semasa mengulangkaji pelajaran. Namun begitu, janganlah menggaris kesemua petikan itu!
Highlight apa yang anda rasa anda perlu tahu dan ingat sudah mencukupi. Untuk pilihan highlighter pula, cuba dapatkan yang berwarna kuning kerana ia sangat sesuai untuk digunakan pada kertas putih. Penggunaan highlighter yang berwarna merah ataupun hijau sesuai dengan kertas berwarna, tidak sangat sesuai dengan kertas berwarna putih.
Untuk menggaris pula, digalakkan untuk menggunakan warna yang tidak sama dengan warna tulisan dan menonjol, seperti merah.
Jika anda jenis yang kemas ataupun tidak suka menconteng buku, anda boleh pilih untuk menggunakan sticker note. Ia sangat popular dalam kalangan pelajar perempuan di sekolah menengah. Ia sangat mudah untuk didapati di mana-mana kedai alat tulis seperti Popular.
Cara untuk menggunakannya adalah sangat mudah, anda perlu menulis nota-nota penting secara ringkas ke atas kertas tersebut dan tampal pada sebelah petikan bacaan anda untuk mengasingkan isi-isi penting yang berkaitan.

3. Buat Ringkasan

Salah satu cara yang paling mudah untuk belajar secara efektif adalah dengan membuat nota ringkasan dengan menggunakan ayat anda sendiri. Dengan berbuat demikian, anda akan mula berfikir akan fakta dan kaedah pemahaman sesuatu dengan cara anda sendiri, bukannya dengan cara orang lain yang mana mungkin boleh mengelirukan anda.
Jika anda mempunyai bilik persendirian, anda boleh tingkatkan keberkesanan membuat nota ini dengan membacanya dengan kuat. Sangat sesuai dengan orang yang lebih selesa dengan kaedah pembelajaran secara verbal.
Jika anda mempunyai masalah untuk mengingati nota anda, cuba mengajar apa yang anda faham ataupun apa yang anda tulis kepada rakan anda. Cara ini sangat berkesan untuk menambahkan kefahaman anda kepada sesuatu topik tersebut.
Anda boleh mengagihkan topik-topik kepada rakan-rakan anda, dan setiap orang perlu membentangkan beberapa topik. Lakukan secara bergilir-gilir, percayalah teknik ini sangat berkesan.
Dan, semasa membuat nota, anda digalakkan untuk menggunakan pelbagai warna. Hal ini kerana warna-warni boleh meransang otak kita jika dibandingkan dengan nota yang berwarna hitam putih sahaja.

4. Buat Flash Card

Anda boleh menukarkan nota-nota anda menjadi flash card untuk memudahkan anda membawanya kemana-mana sahaja. Hal ini sangat sesuai jika anda mengamalkan kaedah pengambilan nota Cornell, yang mana melibatkan kaedah mengatur nota mengikut kata kunci (macam indeks). Anda juga boleh menggunakan flash card ini untuk nota definisi ataupun maksud sesuatu istilah sains.
Ataupun anda boleh membuat soalan pada satu lampiran dan jawapannya pada lampiran yang lain. Ia sangat sesuai kerana flash card memang untuk tujuan di-flip dan senang dibawa.

5. Kaedah Perkaitan

Antara kaedah belajar yang berkesan adalah dengan mengaitkan sesuatu fakta/infomasi yang baharu dengan sesuatu yang sudah lama anda tahu.
Sebagai contoh, anda berkenalan dengan seseorang yang baharu, dan kebetulan namanya adalah sama dengan nama kakak anda. Tidakkah anda akan senang mengingati namanya berbanding dengan nama yang anda jarang dengar.
Apa yang hendak saya bawa disini adalah dengan melakukan perkaitan antara dua perkara, ia boleh meransang ingatan anda! Berikut adalah beberapa cara yang anda boleh guna.

i. Kaitkan dengan Kegemaran anda
Sekiranya anda gemar mendengar lagu, melukis mahupun menari, anda boleh mengaitkannya dengan pembelajaran dan jadikan hobi anda kepada alat bantuan belajar. Sebagai contoh, anda boleh menyanyikan nota-nota belajar dalam rentak lagu kegemaran anda. Percaya atau tidak, sudah banyak pendekatan seperti ini digunakan untuk memudahkan pembelajaran.

Antaranya adalah ini:
Jika anda suka melukis pula, anda boleh melakarkan nota-nota kedalam bentuk cerita ataupun lukisan, tidaklah bergantung kepada tulisan yang membosankan sahaja.

ii. Gunakan Singkatan Perkataan (Akronim)
Kaedah ini boleh dikatakan sangat popular digunakan dalam subjek sejarah dan sains. Kaedah ini sangat sesuai untuk mengingat fakta-fakta dan nota-nota yang bersifat senarai ataupun sesuai proses.
Cara-cara adalah dengan menggunakan huruf pertama dalam setiap senarai dan jadikan senarai perkataan yang lebih menarik.

iii. Peta Minda
Membuat peta minda tidak asing lagi dalam kalangan pelajar. Konsepnya adalah dalam pengembangan nota dan isi-isi penting dalam cabang dan ranting peta minda tersebut.
Cara-cara membuat peta minda adalah bermula dengan topik besar akan sesuatu, biasanya akan diletakkan ditengah-tengah peta minda. Kemudian, cadang-cadang akan dilukis mengikut kreativiti masing-masing mewakili sub-topik subjek tersebut. Setelah itu, ranting-ranting yang lebih kecil pula akan diukir untuk ditempatkan isi-isi penting.

6. Pecahkan Kepada Bahagian Yang Lebih Kecil
Salah satu kaedah pembelajaran adalah dengan mengecilkan skop kepada beberapa bahagian. Ia dapat meringankan beban dan persepsi anda akan sesuatu topik tersebut. Anda juga boleh mengasingkan nota mengikut topik, kata kunci ataupun mana-mana pembahagian yang anda rasa sesuai.
Kaedah ini bertujuan untuk mengurangkan beban otak anda, kerana manusia tidak boleh mengingati sesuatu yang banyak dalam masa yang sangat singkat, namun tidak mustahil jika dalam jangka masa yang lama dan berperingkat-peringkat.

Bahagian 4: Belajar dengan Lebih Efektif

Berikut pula adalah beberapa teknik belajar yang anda boleh amalkan semasa mengulangkaji.

1. Berikan Badan Rehat

Jika anda belajar untuk beberapa jam dalam satu sesi, pastikan anda mengambil rehat sekurang-kurangnya 5 minit setiap setengah jam ataupun sejam. Ini boleh membantu peredaran darah ke otak anda, pada masa yang sama boleh memberikan ketenangan kepada fikiran anda. Keadaan tersebut boleh meningkatkan daya ingatan dan tumpuan anda.
Semasa rehat tersebut, anda bolehlah mengambil sedikit snek, pergi ke tandas mahupun lakukan sedikit senaman ringan agar badan anda sentiasa segar untuk sesi seterusnya.

2. Ambil Nota Dalam Kelas

Semasa dalam kelas, pastikan anda mengambil nota apa yang penting disampaikan oleh guru anda. Anda tidak perlulah gunakan ayat yang lengkap dengan tatabahasa yang cantik molek, sekadar anda boleh baca untuk rujukan semula sudah memadai.

Anda boleh mencantikkan nota tadi kemudian hari, apa yang penting adalah jangan ketinggalan dalam ilmu yang dicampaikan.

Semasa mencatat, gunakan ringkasan agar anda dapat menyalin dengan lebih cepat. Adalah lebih baik jika anda boleh membuat singkatan sendiri untuk tujuan ini, tidak pun gunakan yang biasa orang guna. Sebagai contoh, anda ingin menulis “yang”, singkatkannya kepada “yg” ataupun “y” sahaja. Senang kan?
Untuk dapatkan keberkesanan yang lebih dalam menyalin nota dalam kelas, cuba bertanyakan soalan kepada guru semasa dalam kelas. Tanya berkaitan dengan nota yang anda salin. Dapatkannya jawapannya dan salin sebagai nota kaki kepada nota asal anda. Selain anda mendapat lebih dari kelas anda, anda juga secara tidak langsung memberikan sumbangan kepada seluruh rakan-rakan sekelas anda.

Selain mendapat ilmu, anda juga boleh elakkan daripada rasa mengantuk semasa dalam kelas dan akan dalam keadaan terjaga.

3. Cantikkan Nota Di Rumah

Semasa anda mencatat nota dalam kelas, anda perlu utamakan catatan tersebut bukannya kekemasan nota itu. Hal ini kerana kekemasan dan pemahaman boleh dibuat luar kelas, sebaik sahaja kelas itu tamat.

Anda digalakkan untuk kemaskan segala nota-nota belajar anda pada hari yang sama kelas tersebut dijalankan. Hal ini kerana apa yang anda belajar masih segar dalam ingatan, dan anda boleh lengkapkan nota, jika terdapat mana-mana bahagian yang tertinggal.
Kaedah ini secara tidak langsung menggalakkan anda untuk mengulangkaji pelajaran. Sesetengah orang lebih mudah untuk mengingat dengan banyak kali mengulang sesuatu.

4. Jadikan Belajar Lebih Menarik

Kenyataan yang logik ataupun yang biasa didengari kadangkala tidak memberikan tarikan kepada anda, sebagai contoh “belajarlah rajin-rajin, nanti dapat keputusan yang baik, boleh pergi ke universiti yang baik, lepas itu boleh kerja yang banyak gaji” – saya tak rasa menarik langsung dengan kenyataan biasa itu.

Sebaliknya, anda perlu wujudkan sesuatu yang menarik kepada anda untuk belajar. Kaitkan apa yang anda belajar dengan sesuatu yang anda suka. Mungkin langkah/kaedah ini agak sukar untuk dipraktikkan, namun kebanyakan kes para pelajar lebih berminat untuk belajar.

5. Ulangkaji Subjek Yang Sukar Terlebih Dahulu

Semasa mengulangkaji pelajaran, mulakan dengan subjek yang anda rasa sukar terlebih dahulu. Hal ini untuk memberikan seluruh tumpuan yang masih segar anda kepada subjek yang anda perlu tekankan terlebih dahulu. Kemudiankan subjek-subjek yang anda rasa agak senang untuk skor.

Semasa mengulangkaji, tekankan apa yang sangat penting dahulu. Fakta-fakta yang kecil itu dikemudiankan pun boleh. Utamakan asas-asas dahulu.
Janganlah anda membaca buku teks dari muka depan ke muka akhir secara linear sahaja, dan menghafal fakta-fakta yang anda dapat sepanjang jalan anda membacanya. Sebaliknya, daya ingatan kita lebih kuat jika kita boleh mengaitkan fakta-fakta sesuatu. Selepas baca setiap bab, cuba kaitkannya dengan satu sama lain. Senaraikan apa yang sama, apa yang berbeza, apa kaitannya, dan sebagainya.

Bagi pelajar di universiti, pensyarah kadang-kadang ada menyatakan apa yang penting dan apa yang perlu ditekankan. Oleh itu, anda perlu gunakan petua yang pensyarah anda bagi.

6. Fahami Definisi dan Maksud

Bagi sesetangah subjek, definisi ataupun maksud sesuatu perkataan sangat memainkan peranan yang penting. Oleh itu, jika anda berhadapan dengan subjek yang banyak memerlukan anda menghafal definisi sesuatu, anda perlu dapatkan pemahaman yang mendalam akan maksud tersebut.

Jangan hafal semata-mata hafal, sebaliknya fahami apa yang hendak dimaksudkan dan cuba membuat definisi perkataan tersebut dengan ayat yang anda sendiri. Anda akan sedari bahawa anda akan lebih mudah untuk mengingati ayat yang diolah oleh anda sendiri.

7. Buat Kumpulan Belajar (Study Group)

Anda digalakkan untuk membentuk satu kumpulan belajar dimana anda semua boleh berkongsi apa yang masing-masing dapat semasa menjalani kelas. Anda boleh bertukar- tukar nota, flash card, latihan dan anda boleh mengajar ahli yang masih tidak mahir dalam mana-mana topik.
Anda boleh membahagikan ahli kumpulan untuk menerangkan mana-mana topik kepada semua ahli.

Lakukannya setiap kumpulan belajar setiap hujung minggu ataupun bila-bila masa yang anda rasa selesa.
Namun, perlu ingat, banyak kumpulan belajar tidak berbuahkan hasil kerana sesetengah pelajar tidak memberikan kerja sama yang baik. Oleh itu, sebelum membentuk kumpulan belajar, pastikan anda membuatnya dengan ahli-ahli yang betul-betul berminat untuk belajar dan boleh memberikan komitmen.

Tips Belajar Tambahan

1. Selain menghafal, anda perlu mengetahui/menguasai apa yang anda hafal tersebut, sehingga anda bolehmenerangkannya kepada rakan-rakan yang lain.

2. Belajar dengan orang yang rajin dan pintar boleh memberikan anda semangat. Seeloknya jadikan mereka sebagai rakan belajar anda.

3. Berikan kekuatan untuk anda belajar dengan menonton video atau mendengar kata-kata semangat.

4. Belajar satu subjek dalam sesuatu masa. Elakkan campur aduk dengan subjek yang lain.

5. Berikan rehat dan hadiah kepada diri sendiri setelah anda berhasil mencapai sesuatu, seperti menyiapkan latihan ataupun mendapat keputusan yang cemerlang. Kadang- kadang anda pun perlu bergembira.

6. Jangan menangguhkan kerja. Belajar dan ulangkaji pelajaran pada awal wakut untuk elakkan daripada tidak sempat pada saat akhir.

7. Kebanyakan buku teks mempunyai chapter reviewpada permulaan topik. Jadikan ia sebgai satu panduan akan apa yang anda perlu kuasai.

8. Pastikan anda faham konsep subjek/topik yang anda sedang pelajari. Jika tidak, anda akan merasakan ianya tersangat sukar.

9. Sebelum masuk ke dewan peperiksaan, anda digalakkan untuk menyalin semula apa yang anda ingat ke atas kertas putih.

10. Jangan lupa akan keberkatan ibu bapa dan para guru. Pastikan anda meminta mereka doakan anda untuk mencapai keputusan yang baik.

Amaran

1. Jangan belajar ketika anda tertekan ataupun stress, kerana tidak akan berhasil. Usaha anda akan sia-sia. Adalah terbaik jika anda hilangkan tekanan tersebut sebelum memulakan ulangkaji/belajar.

2. Jangan belajar ataupun ulangkaji sehingga tidak menjaga kesihatan. Anda perlu mengamalkan pemakanan yang sihat dan kerapkan bersukan semasa anda menuntut ilmu.

Kesimpulan

Belajar tiada akhirnya. Belajar tiada titik noktah. Oleh itu, anda perlu memanfaat apa yang anda ada sekarang untuk belajar dengan sebaiknya, dan dapatkan keputusan yang berbaloi dengan usaha yang anda curahkan.

Saya berharap panduan yang disenaraikan di atas dapat membantu anda dalam pembelajaran anda. Sekiranya anda mempunyai sebarang persoalan ataupun tambahan kepada senarai di atas, bolehlah berbuat demikian di bahagian komen di bawah.

Study Hard, Study Smart!
Sekian~

Ori dari http://www.panduansaya.com/pendidikan/cara-belajar-berkesan

No comments:

Post a Comment