Sunday, September 13, 2015

BAD


#AdabBAD : Bertanya-Allah-Dahulu

#AdabBAD : Allah sebagai Tuhan sekaligus sahabat baik

  Belajar Bertanya Allah Dahulu, adalah belajar mengenai sifat yakin dan percaya. 

  Bertanya Allah Dahulu dalam setiap urusan hidup, daripada sebesar-besar keputusan, sehinggalah kepada sekecil-kecil permintaan. Yakin Allah Maha Mengabulkan. Ia bukan sebagai teori dan kesedaran yang hanya berlegar di masjid-masjid dan poster motivasi, tapi adalah keyakinan praktikal yang terpasak, dalam hati hamba Allah. Cara layman.

  Dalam meminta dan memohon, ada adabnya. Manusia dikenali dan dihormati kerana adabnya. Seperti dalam hubungan bermasyarakat, apabila kita meminta sesuatu, haruslah ada syarat dan adab yang dipenuhi. Kadangkala mudah, kadangkala rumit.

  Namun, meminta kepada Allah tidak sukar. Apabila kita rasa kita mahu meminta, itu tanda Allah mahu berikan. Allah pasti beri, dalam pelbagai bentuk dan kondisi. 

  Teringat saya kepada drama bersiri berjudul Makbul. Ada banyak waktu makbul yang boleh kita fokuskan. Antaranya, pada hari Arafah, pada bulan Ramadhan, pada petang hari Jumaat dan pada waktu sebelum Subuh.  

  Dalam #TeknikBAD, kita disuruh berdoa setiap masa, setiap ruang digunakan untuk bertanya, berkomunikasi dan bercakap dengan Allah. Sehingga terbiasa meminta dan bertanya. Allah sentiasa ada dan sentiasa hidup. Sentiasa tahu situasi hamba-hamba-Nya. 

  Jika dalam waktu kurang makbul pun kita jarang meminta, adakah kita berharap kita mudah meminta dalam waktu makbul?
Cakap kepada orang sebelah, "Jangan harap!"
Bayangkan, jika pada waktu yang kurang makbul pun, doa kita selalu makbul, bagaimana pula dengan waktu pasti makbul? 

  Jangan berhenti berdoa! Allah berfirman melalui sabda Nabi dalam hadith Qudsi, "Allah turun ke langit dunia pada setiap malam, iaitu ketika waktu satu per tiga malam masih berbaki. Allah berfirman, "Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, Aku pasti kabulkan doanya. Sesiapa yang meminta, Aku pasti berikan kepadanya. Sesiapa yang memohon keampunan, Aku pasti mengampunkannya." (Hadith riwayat Imam Muslim)

  Doa lebih mudah maqbul apabila tangan diangkat dan badan menghadap ke kiblat. Kedudukan menghadap kiblat menghasilkan energi tersendiri. Alignment dengan kiblat, Kaabah dan terus ke langit. Manakala tangan diangkat melambangkan kita serius meminta. 

  Dalam peristiwa solat istisqa' iaitu solat meminta Allah menurunkan hujan, Nabi mengangkat tangan baginda begitu tinggi, sehingga kelihatan ketiaknya yang putih. Ironisnya, Nabi diriwayatkan mengangkat tangan berdoa dalam khutbah hanya pada waktu itu.

  Ada juga masa, Nabi berdoa hanya dengan lafaz, tanpa mengangkat tangan. Dalam #TeknikBAD, kita akan berdoa dan meminta setiap masa, tanpa mengira kita mengangkat tangan ataupun tidak.

  Jika kita serius meminta, Allah juga serius mahu mengkabulkannya. Tidak percaya? “Tuhan kalian Maha Pemalu dan Pemurah. Dia malu jika hamba-Nya telah mengangkat tangan berdoa kepada-Nya, lalu tidak dikabulkannya.” (Hadith diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidzi dan Imam Ibn Majah)

  Tuhan malu apabila kita meminta, Dia tidak memakbulkan. Namun, apakah kita perlu malu meminta atau sebenarnya kita malas meminta? 
Cakap kuat-kuat, "Tanya hati sendiri!"

  Allah terlalu baik sebenarnya. Dalam kehidupan seharian, pasti ada satu keadaan apabila doa  tidak akan ditolak. Allah bukan sahaja beri dan maqbulkan doa dalam keadaan biasa, malah Allah beri waktu istimewa untuk kita benar-benar ada talian makbul.

  Talian makbul. Ya, sebenarnya wireless. Tanpa talian. Cuma ada signal. Signal maqbul apabila hujan sedang turun. Signal maqbul juga apabila sedang sujud. Signal maqbul lagi apabila sedang dalam peperangan. Signal maqbul terus apabila dalam kondisi musafir. Juga signal maqbul semasa sedang gembira mahu berbuka puasa. Ada yang panjang bertahun-tahun. Ada yang singkat beberapa saat.

  Abu Hurairah mengatakan, "Sesungguhnya pintu-pintu langit terbuka semasa jihad fi sabilillah sedang berkecamuk, ketika turunnya hujan, dan ketika iqamah solat wajib. Manfaatkanlah masa untuk berdoa pada waktu itu." (Dinukilkan dalam kitab Syarh as-Sunnah, oleh Imam Al-Baghawi 1:327) 

  Setiap hari ada waktu connection paling kuat. Pada waktu sebegitulah, kita perlu hantarkan borang permohonan. Terutamanya hajat-hajat yang besar. Waktu sebeginilah kita perlu download sebanyak mungkin panduan, ilham, arahan, tugasan, gerak hati dan kata-kata Allah ke dalam diri. Jika tidak ketemu kondisi maqbul, paksa diri pergi bermusafir atau pergi bersolat! 

  Pernahkah kita melihat di pusat membeli-belah misalnya, ada anak-anak yang meraung dan menjerit mahukan sesuatu? Apakah perasaan kita? Tentu kita pernah terdetik, ya, anak-anak ini menjengkelkan. Apa pula perasaan ibu bapa mereka? Mahukah mereka menunaikan permintaan anak-anak mereka dengan gembira?

  Tentulah tidak sama situasi ibu bapa dan kondisi Allah sebagai pemaqbul doa kita. Tarbiyah sentap Allah hantarkan lewat hadith riwayat Imam Bukhari.
Dari Abu Musa (semoga Allah redha kepadanya), pada suatu masa para sahabat pernah berzikir dengan menjerit-jerit. Kemudian Nabi mengatakan, "Wahai manusia, kasihanilah diri kalian. Sesungguhnya kalian tidak menyeru Zat yang tuli dan tidak ada. Sesungguhnya Allah bersama kalian, Dia Maha Mendengar lagi Maha Dekat." Nah, Allah tidak tuli. Allah lebih dekat kepada kita berbanding urat leher kita. Iaitu Allah hampir sangat dengan kita melalui kekuasaan dan ilmu-Nya.Tidak dapat dibayangkan, jika kita meminta sesuatu permohonan dengan menjerit-jerit dan membentak, dan Allah 'menampar' kita sehingga kita terduduk!

  Justeru, mintalah dengan sopan dan santun. Kerana Allah itu sangat sopan dan sangat lembut.

  Kadangkala, ada orang yang terlebih kreatif dalam berdoa, sehingga akhirnya doa jadi puisi. Unsur estetika dan ritma lebih diutamakan berbanding kandungan doa itu sendiri. 

  #TeknikBAD membantu kita berdoa dalam keadaan normal, tidak berlebihan sehingga bersajak, dan tidak pula kering daripada isi. Doa yang baik adalah doa yang straight forward, dan spesifik.

  Doa yang terbaik adalah doa ajaran Allah dan Rasul. Doa-doa dalam al-Quran dan Sunnah mengajar kita berkenaan konten doa, iaitu apa yang perlu diminta.
Setakat ini, sudahkah anda mempunyai senarai konten doa yang perlu diminta dan disubmit kepada Allah?

  Rasulullah menyatakan dalam adab berdoa, "Berdoalah kepada Allah dan kalian yakin akan dikabulkan permintaan. Ketahuilah, sesungguhnya Allah tidak akan mengkabulkan doa dari hati yang lalai dan main-main (tidak serius)."(Diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan dinilai benar oleh Syeikh al-Albani)
Berapa ramai orang yang faham apa yang imam doakan selepas solat? Angkat tangan!

  Tahukah kita apa yang imam doakan? Jika tidak tahu, cari buku dan fahami maksudnya. Dahulu, sebelum saya belajar bahasa Arab, semasa imam berdoa, mata saya akan menerawang kerawang masjid, kadangkala mendongak kubah, kadangkala memerhati gelagat orang berdoa. Senang cakap, tidak ada hati pun berdoa bersungguh-sungguh. Agaknya, jika kita tidak serius meminta, adakah Allah akan serius mengkabulkan? Adakah saya wajib belajar bahasa Arab untuk faham doa? Jawapannya, ya dan tidak.

  Yang wajib adalah, fahami apa yang didoakan. Apapun, doa tidak semestinya di dalam bahasa Arab, kecuali doa di dalam solat. Berdoalah dalam bahasa yang difahami. Apabila kita faham apa yang kita minta, barulah hati akan rasa yakin ia akan dimakbulkan. Jangan separuh-separuh dan agak-agak. Belajar fokus dalam berdoa. 

  Nabi berpesan, "Janganlah kalian ketika berdoa mengatakan. "Ya Allah, ampunkanlah saya jika Engkau mahu. Ya Allah, rahmatilah saya jika Engkau mahu." Dia mestilah memantapkan permintaannya kerana Allah tidak sukar melakukan sesuatu." (Hadith direkodkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim)
Dalam al-Quran, Allah mendorong manusia berdoa dengan rasa takut dan rasa mengharap secara seimbang. Di antara tamakkan syurga dan takutkan neraka. Di antara takutkan azab Allah dan mahukan nikmat Allah. Di antara bimbangkan kemurkaan Allah dan berasa bahagia atas keredhaan Allah. Buktinya, Allah selalu menggandingkan ayat-ayat syurga dan ayat-ayat neraka. Allah selalu meletakkan sesuatu itu seimbang.

  Allah suka jika kita berdoa dengan merendahkan hati, dengan penuh harapan memenuhi permintaan kita, dan dengan penuh rasa bimbang andai sebaliknya.
Allah berfirman dalam surah Al-Anbiya, ayat 90. "Sesungguhnya mereka adalah orang yang selalu bersegera melakukan perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dalam keadaan berharap dan bimbang. Dan mereka adalah orang yang khusyuk kepada Kami." Tenang adalah menang. Tergesa-gesa adalah sifat kesukaan syaitan. Memaksa adalah sifat manusia biasa. Hakikatnya, Allah punya kehendak sendiri. Tiada sesiapa yang dapat memaksa Allah melakukan apa yang Dia kehendaki, walaupun kita memaksa keinginan kita itu dikabulkan. Siapalah kita untuk memaksa....

  Nabi menyatakan berkenaan orang yang tergesa-gesa dalam berdoa.
"Doa para hamba akan sentiasa dikabulkan, selagi dia tidak berdoa perkara dosa dan memutuskan silaturrahim, dan selagi dia tidak tergesa-gesa." Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulallah, apakah itu tergesa-gesa?" Nabi menjawab, "Iaitu orang yang berdoa, 'Saya sudahpun berdoa,' 'Saya sudahpun berdoa,' tapi tidak pernah pun dikabulkan!' Akhirnya dia berputus asa dan meninggalkan berdoa." (Hadith ini dinukilkan oleh Imam Muslim dan Imam Abu Daud)
 
  Ingat, Allah berjanji akan mengkabulkan semua permintaan kita. Kita tunggu sahajalah. Kadangkala cepat, kadangkala Allah gantikan yang lebih baik, kadangkala lambat, kadangkala Allah gantikan dengan pahala di akhirat.
Asalkan meminta, asalkan sabar!

  Allah menyarankan sebelum kita meminta untuk diri kita, kita meminta untuk orang lain dahulu. Puji dahulu Allah dan minta untuk kekasih-Nya, Rasulullah. 
Allah memiliki nama-nama yang baik, maka berdoalah dengan menggunakan nama yang Allah suka itu. Semua orang sudah hafal nama Allah yang 99 itu?
Baik. Mintalah hajat kita, dengan nama-nama yang serasi dan sesuai dengan permintaan kita.

  Contohnya, kita mahu bantuan Allah mentadbirkan urusan harian kita. Sebutlah, "Ya Mudabbir, bantulah daku menyelesaikan urusanku hari ini. Aku tak kuat dan tak mampu tanpa bantuan-Mu." Nabi sendiri pernah mendengar seseorang berdoa tanpa memuji Allah dan berselawat kepada Nabi. Nabi katakan orang ini sebagai terburu-buru. Kemudian, Nabi berpesan,
"Apabila kalian berdoa, maka mulakanlah dengan memuji dan mengagungkan Tuhannya yang Maha Tinggi dan Maha Kuasa, kemudian berselawatlah kepada Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, kemudian, berdoalah apa yang dia mahu." (Hadith ini direkodkan oleh Imam Ahmad, Imam Abu Daud dan dinilai benar oleh Syeikh al-Albani)

  Jangan tergesa-gesa dalam meminta, kerana berdoa itu ada tekniknya.
Antara cara menetapkan fokus dan memantapkan hati adalah dengan mengulanginya dalam jumlah ganjil. Kenalpasti sama ada permintaan kita itu benar-benar kita mahukan atau sekadar biasa-biasa terlintas di minda. Walaupun ada testimoni sukses BAD hanya dengan doa sekali, namun secara adabnya, mohonlah berulang kali.

  Ini menjelaskan salah satu sebab ada orang doanya mudah dimakbulkan, dan ada orang doanya lambat dimakbulkan. Pengulangan doa melambangkan keseriusan kita meminta dan betapa perlunya kita kepada perkara yang kita minta itu.

  Apabila berdoa, Nabi selalu mengulangi doa itu sebanyak tiga kali. 
Salah satu syarat bagi memudahkan Allah memakbulkan permintaan kita adalah kita mempunyai rezeki yang halal, pakaian yang halal, makanan yang halal dan baik. Jika tidak, hal itu membuatkan doa kita sukar dimakbulkan. Jadi, jika kita punya masalah doa lambat makbul, hatta yang mudah-mudah, mungkin ada salah satu syarat yang tidak dipenuhi.

Bagaimana cara untuk bersihkan dan halalkan?
Istighfar iaitu meminta ampun atas dosa kita yang lama dan baru. Minta Allah hapuskirakan dosa kita, daripada catatan malaikat.
Taubat daripada melakukan semula perbuatan dosa yang pernah kita lakukan. Berazam untuk tidak mengulanginya lagi.  
Bertanya Allah, minta supaya Allah bantu kita mendapat rezeki yang halal. Minta Allah lorongkan kita ke arah kebaikan. 
Bukan apa, perbuatan dosa dan maksiat mengeruhkan hubungan jiwa kita dengan Allah. Ada gangguan pada signal hati. Nanti, jika dapat petunjuk pun, petunjuk itu mungkin tidak tepat. 


:: http://catatanbad.blogspot.com/2015/01/adabbad.html

No comments:

Post a Comment